Sunday, June 15, 2008

:: Fiji!! ::

Hari ni aku terbace article kat berita harian online pasal fiji.. lawa siot.. mcm best jer kalau snorkling kat situ.. giler la nk gi snorkling jauh2..hahahaha... kat bawah ni article yg aku bace tu.

Fiji destinasi romantis

Oleh Hafizah Iszahanid


Pulau Fiji


Gugusan 333 pulau tawar lokasi dasar laut paling indah


BULA! Itu perkataan pertama yang akan singgah di gegendang telinga anda sebaik saja menjejak kaki di Fiji. Boola atau mboola maksudnya hello dan akan diucap dengan penuh ikhlas oleh warga tempatan. Selamat datang ke Fiji, negara di Selatan Pasifik yang dibentuk oleh 333 buah pulau.

Daripada 333 buah pulau, hanya 100 saja yang dihuni. Pulau terbesar dan pusat populasi utama adalah Viti Levu seluas 10,388 kilometer (km) persegi. Fiji secara keseluruhannya berukuran 18,376 km persegi.

Satu ketika dulu, Fiji dikenali sebagai kepulauan kanibal. Justeru, ia adalah destinasi yang tidak ingin disinggah oleh pelayar. Pada era moden pula, pergolakan politik yang menyaksikan pentadbiran negara diambil alih oleh tentera pada 1987 dan 2006, menyebabkan industri pelancongan di negara itu terjejas.

Hari ini tiada lagi pergolakan politik dan terdapat 85 penerbangan antarabangsa keluar masuk dari lapangan terbang di Viti Levu setiap minggu. Dengan pantai putih, laut membiru, hutan dara yang menghijau, Fiji memiliki tarikan tersendiri terutama kepada anda yang berjiwa kembara. Fiji juga menjadi hub utama Pasifik Selatan.

Waktu paling baik untuk melancong ke Fiji adalah pada musim 'sejuk' (istilah di Fiji) iaitu antara April hingga November. Walaupun secara umum, Fiji tidak berhadapan dengan cuaca yang tidak menentu tetapi pada tempoh berkenaan, negara itu kurang mengalami hujan dan terdedah pada angin puting beliung.



Selain menjadi destinasi romantis, Fiji cukup terkenal sebagai syurga skuba. Seluruh kepulauan Fiji dikepung oleh terumbu karang yang besar. Justeru, ia bertindak sebagai benteng melindung lagun yang cetek, air terjun dan ratusan lokasi skuba. Oleh itu, tidak hairan banyak hotel dan rumah penginapan di Fiji menyediakan kemudahan untuk aktiviti skuba.

Jika ingin menyelam, lakukan pada waktu pagi, sebelum angin mengganggu anda. Jangan takut sejuk kerana suhu air laut di Fiji selalunya suam antara 25 Celsius pada Mei hingga November manakala 30 Celsius pada musim panas.

Antara lokasi pilihan popular untuk menyelam skuba ialah Pulau Mamanucas, tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Nadi.

Antara lokasi menyelam popular di pulau itu ialah Shark Encounters, Moray Eel Feeds, Wall Dives, Pinnacle Dives, Pelagics, Soft Corals dan Shipwrecks.


Pulau Mamanucas memang dikenali di peringkat antarabangsa sebagai lokasi dasar laut yang tercantik malah diiktiraf oleh Tabung Hidupan Liar Antarabangsa sebagai satu dari kawasan marin dunia terpenting. Justeru, tidak mustahil ia kerap dipaparkan dalam majalah menyelam skuba seluruh dunia.

Selain menyelam, bagi anda yang ingin berbulan madu, Fiji semakin popular sebagai lokasi percutian romantik. Lautnya yang membiru, pantai putih dan hijau flora dan fauna menjadikan negara itu terutama Pulau Mamanukas sebagai lokasi meraikan perkahwinan utama.

Di Pulau Mamanukas, anda tidak akan tergoda dengan deretan butik pakaian berjenama kerana di sini, hanya ada barangan kraf dan hasil laut tempatan. Antara barangan wajib mesti dibawa pulang jika anda benar-benar kemaruk untuk membeli belah ialah mutiara hitam. Ia lebih murah boleh dibeli daripada penjual tempatan berbanding di hotel anda menginap.

INFO Fiji

  • Terbentuk daripada 333 pulau gunung berapi, batu kapur dan pasir.

  • Hampir 445 spesies tumbuhan marin di Fiji didokumentasikan

  • Terdapat 400 spesies batu karang

  • Dikenali sebagai rumah kepada lima daripada tujuh spesies penyu

  • Laluan utama dan lokasi pembiakan kumpulan ikan paus malah Fiji mewujudkan zon ekonomi eksklusif (EEZ) seluas 8.6 juta km persegi yang diwartakan sebagai santuari ikan paus pada 2003.
  • 5 comments:

    Afida Anuar said...

    Ni pasal pulau ni, ayat ko ke ayat copy paste??hihih dah kagum dah aku membacanya:D

    Lyter said...

    xjadi la gi pulau tioman lak..
    kite gi FIJI la..lg best...heheee

    aziz said...

    ha..kagum x ngan ayat tu? aku copy paste jer tu mcm buat QC.. hahaha

    aziz said...

    jum2 gi FIJI.. best tu.. pastu tu kite gi snorkling kat kutub utara lak.. lagi best..

    Herrull said...

    ok juga

     

    blogger templates | Make Money Online